Sea Survival Untuk Mangsa Karam Di Lautan

Bagaikan mati hidup semula bukan, jika anda berada dalam keadaan seperti mangsa bot karam yang berjaya diselamatkan oleh Pasukan Gerakan Marin selepas terapung hampir 16 jam di Pulau Tenggol, Terengganu tempoh hari. Malang memang tidak berbau, siapa sangka kadang-kadang sikap sambil lewa atau lepas tangan kita terhadap aspek keselamatan diri sendiri bakal mengundang kecelakaan kepada kita kelak. Tidak dinafikan bahawa keselamatan penumpang menjadi tanggungjawab pengusaha bot terbabit, tetapi kita juga harus mempersiapkan diri dengan sedikit ilmu kerana bimbang malapetaka begini terjadi kepada kita.

Atas sebab itu, saya terpanggil untuk menulis dan berkongsi sedikit maklumat berkaitan tajuk di atas supaya masing-masing mendapat manfaat darinya. Kebetulan pula, bidang Keselamatan Dan Kesihatan ini adalah bidang khusus saya, oleh itu dengan menggunakan bahasa mudah dan seberapa ringkas, kita akan mempelajari serba sedikit teknik iktiar hidup apabila terkandas di lautan (sea survival).

Sebenarnya tidak kira samada anda pandai berenang atau tidak cuma jika anda pandai berenang ianya merupakan satu kelebihan buat anda, jika tidak pandai pun tidak mengapa kerana biasanya anda akan dibekalkan dengan jaket keselamatan. Yang penting adalah, jangan panik! Tiada guna jika anda pandai berenang sekalipun tetapi dalam situasi kecemasan, anda lebih panik daripada mereka yang tidak pandai berenang.

Sebaik Melangkah Ke Dalam Bot /Feri

Perkara pertama apabila anda melangkah naik ke dalam bot / kapal/ feri (istilah bot akan digunakan) dan sebagainya adalah dengan melihat disudut manakah terletaknya jaket keselamatan. Ada sesetengah bot mengkehendaki anda memakai terus jaket keselamatan manakala sesetengah pula tidak. Mengapa ada yang tidak? Ini kerana apabila berlakunya situasi kecemasan seperti bot karam, pemakaian jaket keselamatan akan menyukarkan usaha anda untuk melepaskan diri. Setelah anda tentukan lokasi jaket keselamatan, anda harus pastikan pula dimana letaknya jaket keselamatan kanak-kanak dan dewasa. Perkara ini penting kerana jika anda naik bersama anak anda.

Perkara kedua adalah dengan melihat atau menentukan laluan keluar jika berlaku kecemasan. Seperti contoh dimana dan berapa jarak kerusi anda dengan pintu keluar utama dan pintu kecemasan. Jika berlaku kecemasan, berapa lama masa yang anda perlukan untuk sampai ke pintu berkenaan sambil berebut-rebut dengan penumpang lain. Jika anda rasakan masa yang diperlukan agak lama, maka laluan alternatif yang perlu anda fikirkan adalah tingkap bot tersebut. (Anda boleh buang getah tingkapnya, dan pecahkan dengan apa cara sekalipun).

Adalah penting bagi anda untuk mendengar arahan dari anak kapal atau arahan yang diberikan secara tayangan video tentang penggunaan atau cara melepaskan diri jika berlaku kecemasan. Jika benar-benar berlaku kecemasan, jangan panik dan ikut arahan anak kapal sepenuhnya.
Biasanya bot akan karam secara perlahan-lahan dan bukannya seperti helikopter yang terhempas ke laut, jadi masa dan peluang untuk anda keluar dari bot yang karam mungkin ada.

Sewaktu Terapung Di Laut

Sebaik anda berjaya keluar dari bot yang karam, apa yang perlu anda lakukan adalah selamatkan diri anda dahulu dengan berkayuh ke tempat yang jauh sedikit dari bot berkenaan. Biasanya dalam keadaan begini, semua penumpang sudah bersedia dengan jaket keselamatan masing-masing, namun bagi mereka yang tidak sempat mengambil jaket keselamatan, (mungkin sebab panik dan terus terjun ke laut) cubalah untuk mengapungkan diri sebelum diselamatkan oleh penumpang lain yang memakai jaket keselamatan.
Jika tidak pandai berenang tidak mengapa, yang penting jangan panik dan cuba praktikkan cara sebagaimana gambar dibawah untuk mengapungkan diri anda. (Boleh digunakan sementara menunggu bantuan penumpang lain)

Jika anda sudah tersadai di laut, pastinya anda mengharapkan bantuan tiba secepat mungkin. Itu yang kita harapkan, bagaimana pula jika bantuan lambat tiba? Selama mana anda mampu bertahan? sejam? 5 jam? sehari? dua hari? Jika bot berkenaan dilengkapi dengan "Life Raft", mungkin bantuan yang diharapkan akan tiba dengan cepat. Tetapi jika anda hanya dibekalkan dengan jaket keselamatan, kemungkinan untuk cepat diselamatkan adalah tipis.

Apa Yang Harus Dilakukan?

Secara umumnya terdapat 2 teknik atau posisi yang harus digunakan oleh anda sewaktu anda menunggu bantuan tiba. Ya lah, kita tidak tahu bila akan sampai bantuan tersebut dan anda terdedah dengan hipotermia (lebih-lebih lagi kanak-kanak).

H.E.L.P (Heat Escape Lessening Posture)
Teknik atau posisi ini sesuai jika anda terkandas seorang diri. Sewaktu anda di dalam air, haba dari badan anda akan hilang begitu cepat dan memungkinkan anda berasa kesejukan sekaligus risiko hipotermia. Oleh itu, cara ini berkesan melambatkan pengeluaran haba dari badan anda.

Caranya adalah dengan tangan disilangkan memeluk tubuh sambil kaki bersilang dan lutut dibengkokkan ke dada. Disamping itu juga anda boleh berada dalam kedudukan seperti berbaring sambil kedua tangan menyokong atau mengangkat lutut yang dibengkokkan ke dada. Posisi ini sesuai jika anda terkandas seorang diri. Buat selama mana yang mungkin mengikut keselesaan anda.

Posisi HUDDLE
Posisi ini sesuai jika anda berada dalam kelompok. Contohnya antara 2-10 orang. Tidak seperti posisi HELP, Huddle tidak memerlukan anda membengkokkan lutut sebaliknya anda dikehendaki memeluk antara satu sama lain untuk memastikan haba tidak keluar dengan cepat dari tubuh anda. Contoh Posisi Huddle adalah seperti dibawah :

Adalah lebih baik jika orang yang mengalami kesejukan berada ditengah-tengah sambil rakan yang lain memeluk erat antara satu sama lain. Selain dari posisi diatas, posisi huddle juga boleh digunapakai untuk kelompok yang besar. Cuma bezanya adalah, mangsa tidak berpelukan tetapi sekadar berganding tangan membentuk bulatan dengan kaki masing-masing berada di tengah bulatan seperti contoh dibawah :


Seperti biasa, mangsa yang cedera atau mengalami kekejangan atau seumpamanya bolehlah diletak ditengah-tengah dengan di ampu oleh kaki rakan yang lain. Jika mangsa mengadu masih kesejukan selepas diletakkan ditengah-tengah, bolehlah rapatkan atau kecilkan bulatan tersebut. Jika mangsa masih lagi mengadu kesejukan, rakan-rakan yang lain dibolehkan untuk "kencing". Tujuannya adalah untuk memanaskan air ditengah bulatan tersebut.

Untuk "time killer" atau menghilangkan masa menunggu, bolehlah berzikir beramai-ramai bagi yang muslim atau menyanyi atau bersembang menceritakan kisah silam masing-masing.

Meminta Bantuan

Agak sukar untuk meminta bantuan apabila terkandas di lautan apatah lagi jika hanya berbekalkan jaket keselamatan sahaja dan laluan tersebut kurang dilalui oleh kapal atau bot nelayan. Tetapi, ikhtiar harus diteruskan juga. Secara umumnya terdapat mangsa akan diselamatkan melalui kapal atau bot yang kebetulan melaluinya ataupun melalui Helikopter di dalam misi penyelamat.

Bot Atau Kapal
Jika anda terlihat terdapat kapal atau bot nelayan tidak jauh dari tempat anda, perkara yang harus anda lakukan adalah dengan menarik perhatian mereka. Dengan berbekalkan jaket keselamatan, dapatkan wisel yang tersedia bersama jaket tersebut, kemudian lantik seorang "kapten". Kapten akan mengira atau memberi isyarat untuk meniup wisel tersebut secara serentak beramai-ramai. Apa yang perlu dibuat oleh yang lain adalah mengikut arahan kapten mereka. Contoh arahan yang boleh diberikan kapten adalah :

"Satu...Dua.. Tiga... Tiup...", kemudian diikuti tiupan dari rakan-rakan lain. Ulang langkah ini sehingga perhatian anda di sedari bot atau kapal berkenaan.

Jika waktu malam, anda boleh menggunakan lampu suluh ( Ada sesetengah jaket keselamatan dilengkapi lampu suluh). Seperti biasa, tarik perhatian kapal atau bot menggunakan lampu suluh anda. Jika perhatian anda di sedari dan mereka menyuluh lampu kepada anda, jangan lupa untuk menggunakan pita pemantul cahaya pada jaket keselamatan anda sebagai maklumbalas.

Helikopter
Jika anda terlihat atau mendengar bunyi helikopter berhampiran anda, apa yang perlu anda lakukan untuk menarik perhatian mereka adalah dengan menendang air laut sekuat hati anda dalam posisi bulatan tadi. Percikan air yang kuat akan mengambil perhatian pasukan penyelamat tadi. Untuk kesan yang lebih bagus, anda perlu besarkan bulatan anda dan seperti biasa, lantik seorang kapten untuk mengetuai misi anda itu.

Pesanan : Mangsa tidak digalakkan berada berada terlalu jauh daripada bangkai bot / kapal/ helikopter yang karam kerana pasukan penyelamat akan menjadikan lokasi atau bangkai tersebut untuk mengenalpasti lokasi anda.

Jangan sekali-kali minum air laut kerana ianya tidak akan menghilangkan dahaga anda sebaliknya mempercepatkan "hidrasi" anda. Jangan makan sebarang makanan jika tiada air bersama anda.
Cukuplah "basic" yang saya terangkan, jika hendak diterangkan secara "detail", mungkin memakan masa 2-3 hari. Harus diingatkan, ini adalah basic dan diterangkan secara ringkas sebagai panduan sahaja. Jika Ada pertanyaan, boleh dikemukakan pada bahagian komen. - sumber : myberita.com

Comments :

0 comments to “Sea Survival Untuk Mangsa Karam Di Lautan”

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...